Saturday, 10 March 2012

AKU TULANG RUSUKMU


TIGA BELAS

            “Sudi tak awak jadi suri dalam hidup saya? Jadi kekasih dan bidadari dalam hidup saya? Jadi menantu dalam keluarga saya? Jadi anak perempuan kepada ummi saya… Jadi ibu kepada bakal anak-anak saya? Dan yang paling penting… Jadi tulang rusuk saya? Terngiang-ngiang suara Isqandar ditelinganya.
            Qalesya masih lagi mencari-cari jawapan. Buntu memikirkannya. Dia seolah-olah dalam dilema. Terima atau menolak. Dia tidak punya kekuatan. Sudah tiga malam berturut-turut dia membuat solat sunat Istikharah sejak Isqandar melamarnya.
            Dia masih tidak ingat apa-apa mengenai lelaki itu melainkan dia tahu bahawa lelaki itu adalah atasannya. Dibenak Qalesya kini cuma terdapat satu wajah namun agak samar-samar.
            Saban malam dia termimpikan lelaki itu namun dia tidak dapat mengingatinya. Ada suara lain yang bermain-main dikepalanya. Hatinya tiba-tiba merasa amat sebak. Air matanya terhambur.
            “Ya Allah! Kenapa dugaan seberat ini yang Kau timpakan di atas pundakku? Aku tak kuat, Ya Allah… Bantulah hamba Mu ini untuk menghadapi semuanya…” Qalesya menangis sepanjang malam.
..................................................................................................................................................................
            ISQANDAR menyapu mukanya setelah memberi salam yang terakhir tadi. Dia menghela nafas panjang. Dia berzikir seketika. Selang beberapa minit kemudian dia menadah tangan untuk memanjatkan doa. Dia memohon doa untuk dirinya, keluarganya, saudara-saudarinya, sahabat-sahabatnya dan juga untuk wanita yang sangat dia cintai.
            “Ya Allah… Jika dia bukan untukku… Kau hilangkanlah perasaan cinta sayangku ini terhadapnya Ya Allah… Jika dia milikku… Jika dia yang Kau ciptakan untukku… Jika dia tulang rusukku… Kau bukakanlah pintu hatinya untuk menerima cinta dan sayangku namun tidak melebihi cintanya terhadap Mu… Ya Allah… Berikanlah aku jalan untuk menghadapinya… Amin…” Isqandar mengesat air matanya yang tiba-tiba tumpah. Dia menarik keluar buku Yassin yang terletak dalam almari dan mulai larut dalam bacaannya yang penuh penghayatan.
..................................................................................................................................................................
            “ARIGATOU KOZAIMAS!” Ucap lelaki itu sambil tersenyum. Kebetulan Qalesya lalu dimeja lelaki yang mengucapkan bahasa Jepun itu yang membawa maksud ‘terima kasih banyak.’
            Kelihatan lelaki itu sedang berbual sambil berdiri sebelum lelaki yang seorang lagi beredar pergi. Qalesya yang berjalan agak perlahan itu mula melangkah laju apabila mata lelaki itu mula memandangnya.
            Qalesya terasa seperti amat mengenali lelaki itu namun dia khuatir dia akan tersalah orang. Dia menoleh ke belakang setelah dia keluar dari restoran yang menyediakan makanan Jepun itu. Dia terpandang lelaki tadi. Lelaki itu berjalan menuju ke tempat meletak kereta yang berada dibahu jalan sebelah kiri. Lelaki itu membuka pintu kereta BMWnya yang berwarna hitam, masuk dan menyusur keluar dari tempat itu. Lelaki itu langsung tidak perasan yang dirinya diperhatikan oleh Qalesya.
            “Elham ke?” Qalesya bertanya kepada dirinya sendiri.
            “Bukan kut… Perasaan aku je ni…” Dia memutuskannya sendiri dan berlalu pergi meninggalkan tempat itu.

No comments:

Post a Comment